Monday, 29 July 2013

Bangkai Gajah Purba Berusia 39,000 Tahun

Dengan bulu yang kusut, ia menyerupai mainan yang amat disayangi jika dilihat sekali imbas tetapi bangkai seekor gajah purba atau mamot yang berusia 39,000 tahun itu merupakan tinggalan haiwan prasejarah yang terbaik pernah ditemui.


Bulu gajah betina spesies Woolly itu masih berada dalam keadaan asalnya walaupun ia ditemui dalam keadaan beku di Siberia, Rusia pada Mei lalu.

Gajah purba itu dipamerkan kepada orang ramai di Dewan Pacifico Yokohama di Yokohama, Jepun semalam sehingga bulan September depan.


Para saintis turut memperoleh sampel darah yang tersimpan di dalam ais di bawah bangkai haiwan itu.

Sampel darah itu boleh digunakan untuk mengklon hidupan purba tersebut.

Kali terakhir gajah Woolly itu hidup adalah kira-kira 4,000 tahun lalu.

Pasukan saintis Rusia yang terlibat dengan penemuan itu turut menemui tisu otot haiwan tersebut.

Ia dianggarkan berusia dalam lingkungan umur kira-kira 50 atau 60 tahun ketika mati.


Seorang saintis dari Universiti Persekutuan Timur Laut di Siberia, Semyon Grigoriev memberitahu, dia dan para pengkaji terkejut apabila menemui sampel darah dan tisu otot haiwan itu.

"Ia dianggap sebagai 'mamot terbaik' yang masih terpulihara dalam sejarah paleontologi," katanya.

Grigoriev pada mulanya meletakkan usia haiwan itu kira-kira 10,000 tahun. Namun, selepas ujian dilakukan haiwan itu sebenarnya didapati berusia lebih tua iaitu kira-kira 39,000 tahun.

"Ia merupakan penemuan yang besar. Buat masa ini, kecurigaan kami adalah mengenai darah haiwan tersebut yang mempunyai bahan semula jadi antibeku," katanya.

"Kami mengandaikan haiwan itu terjatuh ke dalam air atau tenggelam di dalam paya dan tidak dapat keluar menyebabkannya mati," tambahnya.

Sebahagian badan gajah itu masih terpulihara termasuk bulunya walaupun ditemui dalam keadaan beku selama beribu-ribu tahun.

Bagaimanapun, bahagian atas dan kedua-dua belah kaki haiwan itu dipercayai telah menjadi makanan pemangsa prasejarah.

Darah dan sampel lain yang ditemui pada bangkai itu akan dihantar ke sebuah makmal persendirian milik seorang saintis Korea Selatan, Hwang Woo-suk, dalam usaha untuk mengembalikan haiwan itu ke dunia.

Mengikut cadangan awal, telur mamot itu akan dimasukkan ke dalam seekor gajah hidup untuk dihamilkan selama 22 bulan.

Pada awal tahun ini, sekumpulan saintis dari seluruh dunia menghadiri persidangan TEDx di Washington, Amerika Syarikat (AS) yang ditaja oleh National Geographic.

Kumpulan saintis itu membincangkan kemungkinan menghidupkan kembali 24 jenis haiwan yang telah pupus.

Haiwan itu termasuklah burung dodo, burung bayan Carolina yang kali terakhir ditemui pada tahun 1904 di Florida, AS dan zebra Quagga yang pernah tinggal di Afrika Selatan tetapi pupus pada tahun 1883.

-Kosmo


EmoticonEmoticon