12 Jan 2017

Misteri Makhluk Buas Dari Gevaudan

Pada pertengahan tahun 1700an, lebih dari 100 penduduk mati kerana serangan makhluk misteri yang disebut sebagai Si Buas Dari Gevaudan. Serangan yang menimpa para penduduknya masih lagi menjadi misteri sehingga kini.

Gevaudan

Tidak ada yang dapat memastikan jumlah sebenar mangsa serangan makhluk Gevaudan. Namun, Dr. Beaufort yang pernah mengkaji kes ini yakin paling kurang 210 serangan dikaitkan dengan makhluk tersebut.

Antara 210 serangan itu, seramai 49 mangsa cedera dan 113 kematian. 98 mangsa mati akibat digigit.

Semuanya bermula pada 1 Jun 1764. Ketika itu seorang remaja wanita berusia 14 tahun keluar untuk mengembala ternakannya ke sebuah padang rumput berhampiran Gevaudan, Perancis. Dia tidak menyangka apa yang menimpanya akan menjadi permulaan sebuah misteri yang berlangsung hingga ratusan lamanya.

Ketika sedang memerhatikan ternakannya, dia melihat ke arah semak-samun yang ada di situ. Gerakan pada semak itu membangkitkan rasa ingin tahunya.

Dia tidak perlu menunggu lama. Beberapa saat kemudian seekor haiwan besar seperti anjing keluar dari semak itu dan segera berlari ke arahnya. Walaupun haiwan tersebut memiliki rupa seperti anjing, badannya sangat besar, malah hampir menyamai besar seekor kerbau.

Ketika ia hendak menerkam, remaja itu menggunakan tongkat untuk memukulnya. Namun tenaga tidak mampu melawan makhluk bertubuh besar itu. Mujurlah ketika itu dia membawa bersama beberapa ekor anjing bersamanya. Anjing-anjing tersebut segera menyerang makhluk misteri itu. Makhluk itu masih berusaha mendekati gadis itu sebelum akhirnya berundur dan kemudiannya menghilang.

Tidak ada yang pernah melihat makhluk itu sebelumnya. Namun setelah peristiwa di padang rumput itu, ia mula sering muncul dan melakukan serangan yang membunuh lebih 100 orang.

Pada 30 Jun tahun yang sama, makhluk tersebut membunuh mangsanya yang pertama. Jeanne Boulet yang juga baru berusia 14 tahun ditemui mati berdekatan desa Les Hubacs, tidak jauh dari Gevaudan. Gadis malang tersebut ditemui dengan dadanya dirobek dan jantungnya yang telah dimamah.

Akhbar harian Paris Gazzete yang diterbitkan pada Jun 1764 memuatkan kenyataan saksi yang sempat melihat makhluk tersebut.

"Makhluk ini lebih tinggi dari Serigala. Tapak kakinya dilengkapi kuku. Warna bulunya kemerah-merahan. Kepalanya besar manakala mulutnya dipenuhi gigi-gigi tajam yang mirip dengan anjing Greyhound. Telinganya kecil dan lurus, dadanya lebar berwarna kelabu, sedangkan punggungnya memiliki alur berwarna hitam".

Makhluk itu juga disebut mengeluarkan bau yang sangat busuk. Maklumat yang disiarkan ini langsung tidak bersesuaian dengan mana-mana binatang yang dikenali pada zaman itu.

Pada bulan September 1764, mangsa yang mati akibat serangannya telah mencapai nisbah kepada seorang bagi setiap minggu. Setiap mangsa mati dengan keadaan mayat yang mengerikan. Biasanya leher akan dikoyak dan terlerai dari badan.

Pada bulan Oktober, kematian terus berlanjutan dengan penemuan mayat-mayat yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di pelbagai temapt di desa.

Pada masa itu, berita mengenai makhluk ini telah tersebar luas ke seluruh Perancis. Penduduk desa di sekitar Gevaudan mengalami ketakutan yang luar biasa. Pintu-pintu rumah dikunci dan aktiviti di luar rumah dikurangkan. Mereka yang terpaksa keluar rumah akan membawa rakan dan senjata untuk melindungi diri.

Sebenarnya ada alasan lain mengapa penduduk kampung dicengkam ketakutan. Ini kerana khabar angin menyebutkan kononnya makhluk buas tersebut adalah seekor Loup Garou atau manusia serigala (Werewolf).

Khabar angin ini berkembang kerana dalam beberapa kejadian, makhluk itu dilihat tidak cedera dengan tembakan peluru yang dilepaskan. Malah, seorang petani berjaya menikamnya dengan pisau tetapi makhluk itu tidak cedera sama sekali!

Kenyataan ini membuatkan penduduk percaya mereka sedang berhadapan dengan makhluk supernatural.

Pada Januari 1765, terjadi satu peristiwa yang membuatkan Raja Perancis campur tangan. Ketika itu, Jacques Portefaix dan enam orang rakannya terserampak dengan makhluk berkenaan. Mereka berjaya melawan dan menghalaunya.

Tindakan yang dilakukan oleh Jacques dan rakan-rakannya segera menarik perhatian Raja Louis XV yang kemudiannya menghadiahkan wang penghargaan buat mereka semua.

Bukan itu sahaja, raja juga memutuskan untuk menghantar seorang pemburu serigala profesional bernama Jean Charles Marc Antoine Vaumesle d'Enneval dan anaknya Jean Francois untuk mencari serta membunuh raksasa itu. Malah, lebih dua ribu orang yang lain turut memburu makhluk tersebut.

Pada 17 Februari 1765, d'Enneval dan Francois tiba di Clermont Ferrand. Mereka membawa bersama lapan ekor anjing pemburu yang berpengalaman. Kedua-duanya menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk memburu dan membunuh serigala kerana mereka percaya haiwan-haiwan inilah yang telah bertanggungjawab diatas serangan-serangan berdarah tersebut.

Pada masa yang sama, jumlah serangan makhluk tersebut juga menurun.

Pada bulan Jun 1765, kesabaran raja mula goyah. Raja menggantikan dua pemburu tersebut dengan Francois Antoine yang sebelumnya bertugas sebagai pembawa senjata raja.

Pada 21 September 1765, Antoine berjaya membunuh seekor serigala besar yang memiliki ketinggian 80 sentimeter dengan panjang hingga 1.7 meter. Serigala ini telah digelar sebagai Le Loup de Chazes.

Mengenai haiwan itu, Antoine berkata: "Kami belum pernah melihat serigala dengan ukuran badan sebesar ini. Oleh kerana itu, kami menyimpulkan makhluk ini adalah makhluk yang telah melakukan serangan-serangan terhadap penduduk desa".

Bangkai serigala itu dibawa ke Versailles. Antoine dialu-alukan sebagai pahlawan dan menerima banyak wang sebagai hadiah.

Namun, serangan berdarah rupanya belum berakhir. Ini menunjukkan Antoine telah membunuh makhluk yang salah!

Gevaudan [2]

Pada 2 Disember 1765, makhluk itu kelihatan di La Besseyre Saint Mary dan menyerang dua orang kanak-kanak. Namun, pada bulan-bulan berikutnya jumlah mangsa terus menurun.

Pada tahun 1767, serangan-serangan tersebut tib-tiba sahaja terhenti dan ramai yang percaya makhluk itu telah mati.

Sayangnya kisah ini berakhir dengan kisah yang samar-samar. Tokoh sejarah mempunyai beberapa teori berbeza mengenai kisah berakhirnya serangan itu. Namun lagenda yang paling popular menyebut makhluk itu dibunuh oleh seorang penduduk tempatan bernama Jean Chastel pada 19 Jun 1767.

Menurut cerita, suatu hari, Chastel yang ketika itu sedang memburu makhluk tersebut bersama rakannya, duduk di sebuah tempat dan memutuskan untuk berdoa kepada Tuhan mengenai semua masalah ini. Setelah itu dia mengeluarkan kitabnya dan mula membaca. Baru beberapa perenggan, tiba-tiba makhluk tersebut muncul di hadapannya. Chastel segera membidik senapangnya dan membunuh makhluk itu.

Lagenda Chastel kemudian diambil oleh ramai penulis dan diubahsuai sehingga lebih berbaur kisah dongeng berbanding fakta.

Misalnya, salah seorang penulis menceritakan 'Beast of Gevauden' sebenarnya seekor serigala jadian dan Chastel sendiri adalah ayahnya. Disebabkan itulah dia berjaya membunuh dan menguburkannya disuatu tempat.

Penulis lain menyebutkan Chastel berjaya membunuhnya kerana menggunakan peluru perak.

Jadi, kita semua pada hari ini hanya membaca kisah yang bercampur-aduk antara fakta dan imaginasi.

Persoalannya, apakah sebenarnya makhluk itu?

Sumber: sentiasapanas

3 Aug 2016

Misteri Penyakit Keloid, Parut Hodoh Yang Hidup!

Pernahkah anda ternampak seseorang yang mempunyai kesan melecur pada badan? Kemudian wujud pula kesan timbul seperti bekas parut yang masih baru dan bekas parut itu kelihatan kemerah-merahan.

Keloid

Fenomena ini selalunya disebut sebagai parut hidup. Tapi tahukah anda parut sebegitu boleh membesar dan menutupi kulit seseorang. Inilah yang dinamakan sebagai Keloid.

Sehingga hari ini, tidak ada kajian lanjut mengenainya, malah sampai sekarang pun, ahli dermatologi dan saintis tidak tahu apakah punca yang menyebabkan keloid berlaku.

Boleh dikatakan semua saintis sepakat mengatakan tiada sebab munasabah yang logik untuk membuktikan bagaimana keloid boleh terjadi.

Keloid terbentuk di atas kesan parut sedia ada. Kemudian, ia akan membesar dan menutup kesan parut lalu menjadi semacam ketumbuhan pada kulit.

Caranya seakan sama dengan tumbuhan parasit yang menumpang hidup pada sesuatu tumbuhan.

Istilah perubatan menjelaskannya sebagai Hypertrophic Scar iaitu kesan parut di tempat yang sama di sesuatu bekas luka.

Hypertrophic scar
Hypertrophic Scar.

Secara mudahnya, Keloid merupakan parut yang membesar, menaik dan mempunyai bentuk yang tidak sekata.

Ia terjadi disebabkan oleh pembentukan kolagen yang berlebihan di dalam korium (lapisan kulit daripada komponen sel, elemen fiber dan matriks di bawah epidermis untuk memberi ketebalan pada kulit) semasa pemulihan tisu penghubung berlaku.

Menurut pakar, sesiapa saja berpotensi mendapat Keloid tetapi ia lebih mudah menyerang orang yang berkulit gelap. Setakat ini, belum ini ada penjelasan logik mengapa Keloid gemar menyerang orang berkulit gelap.

Malah saintis di serata dunia juga tidak menemui jawapan, cuma ada beberapa pengkaji mengaitkannya sebagai faktor genetik tetapi ia bukanlah jawapan wajar untuk menjelaskan kenapa ia menyerang mereka yang berkulit gelap.

Keloid [3]

Sehingga ke hari ini, Keloid dianggap sebagai satu misteri dalam dunia perubatan kerana ia tidak boleh disembuhkan dan tidak ada teknik atau kaedah yang mampu merawatnya.

Seseorang yang diserang Keloid akan mendapat kesan parut seumur hidup.

Proses tumbesaran Keloid kadang-kala boleh menyebabkan kecacatan terutamanya jika ia tumbuh di kawasan berhampiran deria seperti mata, telinga dan sendi.

Lazimnya, mangsa serangan Keloid akan berdepan dengan beberapa gejala seperti gatal dan pedih pada tempat terjadinya Keloid. Gejala ini dapat dikurangkan namun ia akan berterusan sepanjang hayat.

Setakat ini, Keloid dikategorikan sebagai sesuatu yang tidak bahaya kerana ia tidak boleh menyebabkan kematian.

Keloid [2]

Walau bagaimanapun, ia mampu menyebabkan seseorang merasa malu dan rendah diri kerana kesan parut begitu jelas kelihatan.

Lazimnya Keloid menyerang di lokasi segi tiga tubuh badan iaitu leher, bahu dan dada.

Walaupun terdapat rawatan yang disediakan oleh pihak perubatan kepada pesakit, rawatan yang disediakan hanyalah bertujuan untuk mengurangkan tumbesarannya sahaja tetapi untuk menghilangkan Keloid, adalah mustahil kerana ia merupakan parut kekal.

[Sumber]

2 Jun 2016

Misteri Sumpahan Pulau Gaiola

Terletak di Teluk Naples, Itali, Pulau Gaiola merupakan salah satu kawasan yang dilindungi di kawasan Taman Bawah Laut Gaiola.

Pulau Gaiola

Persekitarannya yang cantik dan terletak hanya 30 meter dari kaki pantai menjadikan ia salah satu pulau tumpuan pengunjung sewaktu musim panas.

Pulau Gaiola merupakan sebuah pulau kecil dan terletak bersebelahan pulau lain, iaitu Pulau Euplea. Kedua-dua pulau ini disambungkan dengan sebuah jambatan kecil.

Namun, sebuah vila misteri yang tidak berpenghuni yang terdapat di Pulau Gaiola lebih popular telah diperkatakan sejak dahulu lagi. Kononnya, sesiapa yang membeli vila itu akan ditimpa nasib malang.

Ramai yang mengaitkan vila tersebut dengan sumpahan yang kononnya masih menghantui kawasan kepulauan Gaiola sehingga ke hari ini.

Sejarah mengatakan Pulau Gaiola pertama kali didiami oleh seorang petapa yang juga dianggap sebagai ahli sihir oleh penduduk tempatan pada kurun ke 19.

Mengikut cerita, siri sumpahan bermula sekitar tahun 1920an. Waktu itu, Pulau Gaiola dimiliki oleh seorang lelaki Swiss bernama Hans Braun. Dia ditemui mati dibunuh dalam keadaan mayat dibalut dengan permaidani.

Pulau Gaiola [2]

Tidak lama selepas kejadian tersebut, isterinya pula ditemui mati lemas di dalam laut tidak jauh dari pulau tersebut. Punca kematian tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

Pemilik vila seterusnya ialah seorang lelaki Jerman, juga meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu berada di dalam vila tersebut.

Nasib serupa melanda pemilik vila yang baru, Maurice-Yves Sandoz. Dia yang merupakan pengusaha bidang farmasi akhirnya membunuh diri di sebuah hospital mental di Switzerland.

Masih belum puas 'memburu' mangsa baru, pemilik seterusnya ialah seorang pengusaha kilang besi, Barol Karl Paul Langheim. Beliau dihantui oleh masalah ekonomi selepas membeli vila di Pulau Gaiola. Dia akhirnya jatuh miskin dan vila itu beralih tangan kepada Gianny Agnelli.

Namun, nasib malang mula menimpa Gianny apabila ahli keluarganya meninggal dunia seorang demi seorang.

Kemudian, vila Pulau Gaiola bertukar milik kepada seorang jutawan bernama Paul Getty. Dia turut mengalami kejadian malang selepas memiliki pulau tersebut apabila cucunya diculik.
Pemilik terakhir yang sempat direkodkan ialah Gianpasquale Grappone yang turut tidak terlepas daripada tempias sumpahan. Dia telah dipenjarakan kerana syarikat insurannya jatuh muflis.

Sehingga ke hari ini, tiada sesiapa lagi yang berani dan berminat untuk memiliki vila di pulau berhantu itu walaupun keadaan geografinya yang cantik dan menarik. Pulau Gaiola dan vila di dalamnya akhirnya kini dibiarkan sepi tanpa penghuni.

Pulau Gaiola [3]

Pada tahun 2009, sekali lagi pulau ini menjadi bualan orang ramai apabila Franco Ambrosio dan isterinya Giovanna Sacco, pemilik sebuah vila yang berhadapan dengan pulau berhantu itu mati dibunuh dengan misteri.

Walaupun terkenal dengan pelbagai jolokan cerita sebagai kawasan yang disumpah, pulau ini masih menerima kunjungan pelancong daripada seluruh dunia saban hari.

Jangan risau, sumpahan tidak menimpa para pelancong yang datang menjejakkan kaki ke pulau itu.

[Sumber]

1 Apr 2016

Misteri Sumpahan Kerusi Antik Pembawa Maut!

Di sebuah perkampungan kecil di Thirsk, dalam daerah North Yorkshire, England, ada sebuah muzium yang menempatkan pelbagai barangan lama yang mempunyai sejarah tersendiri.

Thomas Busby Chair

Antara barangan yang menjadikan muzium itu terkenal ke serata dunia ialah sebuah kerusi antik. Kerusi tersebut digantung tinggi diatas dinding. Tujuannya untuk menghalang pengunjung daripada duduk di atas kerusi tersebut.

Jika dilihat sekali imbas, tiada apa yang istimewa mengenai kerusi kayu itu. Namun, tidak ramai yang tahu sejarah silam kerusi itu yang dikatakan telah 'membunuh' ramai dikalangan sesiapa yang berani mencecahkan punggung diatasnya.

Kisah kerusi yang dikatakan telah disumpah ini bermula pada tahun 1702. Seorang lelaki bernama Thomas Busby, dijatuhkan hukuman mati kerana telah membunuh bapa mentuanya, Daniel Auty dalam satu pertengkaran.

Sewaktu dalam perjalanan ke tempat hukuman, Thomas diberikan satu permintaan terakhir. Dia meminta untuk berhenti di sebuah pub yang menjadi tempat kegemarannya.

Thomas duduk di atas kerusi kesukaannya di situ sambil menikmati minuman terakhir. Sewaktu bangun, Thomas menyumpah barang siapa yang berani duduk di atas 'kerusinya' itu, kematian akan memburu mereka. Dia dikenakan hukuman gantung sejurus selepas itu.

Selepas kematiannya, pub tersebut dikenali dengan nama Busby Stoop Inn yang diambil sempena nama Thomas Busby.

Ketika itu, tiada siapa pun yang mengambil serius tentang sumpahan yang telah diucapkan oleh Thomas. Namun, sebagai tanda menghormati si mati, mereka mengambil keputusan untuk tidak duduk di kerusi tersebut.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, terdapat sebuah kem tentera udara yang terletak berhadapan dengan pub tersebut. Kebanyakan tentera yang datang dan minum di pub itu tidak berani duduk di atas kerusi 'berhantu' itu. Ini kerana beberapa orang daripada tentera yang pernah duduk di situ akhirnya terkorban di medan perang.

Pada tahun 1967, dua orang juruterbang tentera udara diraja yang duduk di kerusi itu juga menemui ajal apabila kereta mereka terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang dari pub tersebut.

Antara mangsa lain termasuklah seorang pembersih corong asap yang ditemui mati tergantung keesokkan harinya selepas duduk di atas kerusi tersebut.

Busby Stoop Inn
Busby Stoop Inn, asal 'kerusi berhantu'.

Seorang wanita yang bekerja di pub itu pula jatuh tersadung mengenai kaki kerusi itu. Dia turut terkena tempias sumpahan apabila mati akibat barah otak tidak lama kemudian.

Pada tahun 1968, Tony Earnshow mengambil alih pub tersebut. Dia yang langsung tidak percaya kepada lagenda karut ini tidak mengendahkan cerita yang didengarinya daripada penduduk setempat berkaitan kerusi sumpahan itu.

Dia pada mulanya mendengar dua orang jejaka yang saling mencabar sesama sendiri untuk duduk di atas kerusi malang itu. Akhirnya, kedua-dua mereka terlibat dalam kemalangan apabila kereta yang dinaiki melanggar sebatang pokok. Kedua-duanya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Tony juga menyaksikan bagaimana sekumpulan buruh binaan yang datang ke pub itu mencabar seorang buruh muda untuk duduk di atas kerusi itu. Tidak lama kemudian, pemuda tersebut jatuh dari atap yang sedang dibaikinya lantas menemui ajal.

Melihat keadaan itu, Tony menjadi takut lalu segera mengalihkan kerusi itu ke bilik bawah tanah. Dia tidak mahu ada orang lain terus menjadi korban kerusi malang itu lagi.

Tahun 1978, seorang penghantar bir yang kebetulan sedang mengalihkan stok ke bilik bawah tanah secara tidak sengaja duduk diatas kerusi itu untuk melepaskan penat. Dia memberitahu Tony betapa selesanya kerusi itu. Malangnya, dia terbunuh dalam kemalangan hanya beberapa jam setelah meninggalkan pub tersebut.

Tidak tahan melihat orang yang tidak bersalah mati angkara kerusi berhantu itu, Tony bertindak menyerahkan kerusi tersebut kepada muzium Thirsk dengan syarat, sesiapa pun tidak dibenarkan duduk diatasnya.

Kerana itu, sejak 30 tahun yang lalu, pihak muzium telah menggantung kerusi tersebut di dinding supaya tiada sesiapa yang akan mendudukinya lagi.

Thomas Busby Chair in Muzium
Digantung tinggi semenjak 30 tahu yang lalu.

Memandangkan banyak kematian misteri menimpa orang yang duduk di atas kerusi tersebut, sebuah syarikat perfileman dari Jepun telah meminta kebenaran untuk cuba duduk di kerusi itu pada tahun 2004.

Tujuannya mungkin untuk mengetahui sejauh mana kebenaran tentang kerusi sumpahan Thomas. Namun, ia tidak mendapat kebenaran dari pihak berkuasa.

Yang menjadi persoalan sehingga kini, benarkah kerusi itu membawa malang akibat sumpahan Thomas Busby?

Atau segala yang terjadi hanyalah sekadar kebetulan?

[Sumber]

29 Mar 2016

Penyakit Misteri, Pengsan Apabila Ketawa!

Secara luaran Kay Underwood, 20, tampak seperti gadis-gadis lain yang sebaya dengannya.

Kay Underwood, 20

Bagaimanapun, pelajar jurusan seni bina di Universiti Lincoln, England itu sebenarnya menderita sejenis penyakit ganjil yang menyebabkan dia pengsan setiap kali ketawa.

Underwood menghidap penyakit tidur dikenali sebagai katapleksi atau serangan tiba-tiba yang mengakibatkan otot menjadi lemah hinggakan pesakit tidak mampu bergerak walaupun dia masih sedar.

Selain ketawa, rasa teruja, terkejut, takut, marah dan malu juga akan menghasilkan reaksi yang sama kepada gadis yang berasal dari Leicestershire itu.

Menurut Underwood, dia menanggung penyakit tersebut sejak lima tahun lalu dan terpaksa bergantung kepada beberapa jenis ubat untuk menjalani rutin harian.

Katanya, penyakit itu membuatkan dia pengsan lebih 40 kali sehari sebelum pulih semula dalam masa beberapa minit.

"Sewaktu diserang katapleksi, saya akan kehilangan kawalan badan tetapi tidak pengsan. Ia menyerang setiap kali saya ketawa," katanya seperti dipetik portal Daily Mail.

Cerita Underwood, dia selalu mengalami gangguan tidur sehinggakan dia berasa tertekan dan sukar menumpukan pelajaran di dalam kelas.

"Ketika berumur 15 tahun, saya kerap mengantuk di dalam kelas. Oleh sebab itu, saya cenderung untuk tidur selama berjam-jam selepas pulang dari sekolah.

"Pada waktu malam pula, saya sering terjaga daripada tidur. Bagaimanapun, saya tidak dapat menggerakkan tubuh dan seolah-olah lumpuh seketika. Ini benar-benar menakutkan saya," katanya.

Underwood kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Leicester dan disahkan menghidap katapleksi.

Menurut pakar gangguan tidur di hospital berkenaan, Dr. Andrew Hall, katapleksi merujuk kepada paralisis tidur yang berpunca daripada kegagalan fungsi otak mengawal masa jaga dan tidur.

Jelasnya, keadaan itu mencetuskan situasi kehilangan upaya otot secara mengejut ketika sedang berjaga.

"Otot yang tiba-tiba menjadi lemah ini boleh berlaku di bahagian tertentu tubuh. Misalnya, jika katapleksi terjadi pada tangan, seseorang itu akan menjatuhkan objek yang sedang dipegangnya. Kesan emosi yang kuat dan mendalam sering menjadi punca penyakit berkenaan," katanya.

Kay Underwood, 20 [2]

Tambah Hall, antara tanda awal yang biasa dilihat pada pesakit ialah tidur secara berlebihan pada waktu siang.

"Mereka juga mengalami sakit kepala dan migrain selain menderita tekanan emosi antara 30 hingga 57 peratus.

"Pesakit lazimnya diberikan ubat seperti amphetamine dan sodium oxybate bagi membantu mereka tidur lebih lena pada waktu malam dan berjaga pada siang hari," ujarnya.

[Sumber]

 
Bloggerized by Free Blogger Templates