Showing posts with label Misteri Kubur Lama. Show all posts
Showing posts with label Misteri Kubur Lama. Show all posts

Thursday, 27 June 2013

Penduduk Gempar Misteri Kubur Yang Tidak Pernah Wujud

Penduduk di Kampung Sungai Baru, Gunung Keriang, dekat sini, gempar berikutan penemuan satu kubur misteri di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid Hidayatul Solehin, Sungai Baru Gunung.


Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, penggali kubur, Harun Abdullah, 62, menemui sebuah kubur mencurigakan ketika dia hendak menjalankan kerja menggali liang lahad.

“Pada 18 Jun baru-baru ini ada orang meninggal dunia, jadi pakcik pergi ke tanah perkuburan seperti biasa untuk melakukan kerja yang diperlukan termasuklah mengenalpasti lokasi bersesuaian.

“Namun, ketika sedang mencari lokasi berkenaan, secara tiba-tiba pakcik melihat satu kubur yang tidak pernah ada sebelum ini, pelik dengan kemunculan secara tiba-tiba itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Harun berkata, kubur berkenaan kelihatan masih baru, malahan terdapat sejambak bunga yang hampir layu di atas kubur itu.

Menurutnya, berdasarkan pengamatan dan pengalamannya menjaga tanah perkuburan itu selama 10 tahun ini, kedudukan kubur misteri berkenaan berada di kawasan asing, sedangkan jika sesiapa dikebumikan, dia mengetahui lokasinya.

“Bimbang kewujudan kubur misteri terbabit mempunyai unsur mencurigakan, saya terus memaklumkan perkara ini kepada Imam masjid untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Hidayatul Solehin, Hassan Ahmad, 83, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara terbabit kerana sedia maklum jika ada kematian pastinya dimaklumkan kepadanya.

”Jika berlakunya kematian di kampung kami, maka akan diadakan bacaan doa mahupun talkin. Namun, kali ini tanpa ada sebarang sembahyang jenazah ataupun doa, muncul kubur entah datang dari mana secara tiba-tiba.

“Kemudian saya bersama sebahagian kariah masjid bergegas ke lokasi kubur misteri terbabit dan terkejut melihat sebuah kubur misteri berada di kawasan berkenaan malah langsung tidak menyangka penemuan itu,” katanya.

Katanya, kubur bertulis nama Firdaus Alif Wong berkenaan menimbulkan tanda tanya kepada penduduk kerana bukan sahaja dipercayai tidak mengikut arah kiblat malah seakan-akan baru digali.

–Sinar Harian

Friday, 26 April 2013

Misteri Rangka Gadis Berusia 600 Tahun

Ahli arkeologi Ireland Utara menemukan rangka seorang remaja perempuan yang mungkin menjadi mangsa pembunuhan misteri kira-kira 600 tahun lalu di sebuah tapak pembinaan jalan di Enniskillen, Fermanagh, baru-baru ini.


Selain rangka gadis itu, ahli arkeologi turut menemukan kira-kira 4,000 artifak dipercayai daripada zaman pertengahan di lokasi yang pernah menjadi sebuah kawasan penempatan purba tersebut.

Rangka remaja perempuan itu yang dipercayai meninggal dunia pada abad ke-15 atau ke-16, tidak dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan dan tidak dilakukan mengikut adat tradisi masyarakat pada zaman itu.

Ini membuatkan ahli arkeologi berpendapat berlakunya perbuatan khianat terhadap remaja itu.

Sementara itu, Pengarah Tapak Penggalian, Dr. Nora Bermingham berkata, penemuan tapak itu merupakan kemuncak kepada kariernya.

"Saya percaya, pekerja penggalian juga tahu mereka sedang melakukan perkara yang luar biasa yang mungkin tidak akan dijumpai lagi selepas ini,'' katanya hari ini.

Antara barang lain yang ditemukan adalah satu permainan papan zaman pertengahan, sebentuk cincin emas, mangkuk yang mempunyai ukiran, kasut kulit dan pakaian daripada pin logam yang dihias dengan baik.

Lebih 2,000 pengunjung telah melawat pusat penggalian itu dalam tempoh tiga hari ia dibuka kepada umum.

Kawasan bersejarah itu kini sedang dibangunkan untuk pembinaan jalan raya di Ireland Utara.

Bagi tempoh 10 bulan yang lalu, mesin jengkaut telah menemukan pelbagai jenis barangan di kawasan itu yang akan disimpan dan diharap, ia akan dipamerkan kepada orang ramai satu hari nanti.

Bagaimanapun, di sebalik penemuan itu, jentera berat dijangka akan kembali ke kawasan penemuan artifak esok bagi meletakkan konkrit di kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan raya baharu bersempena sidang kemuncak G8 di Fermanagh, Jun ini.

Sejak penemuan artifak dan mayat tersebut, pembinaan jalan raya baharu itu mendapat bantahan keras daripada penduduk.

Mereka menganggap penempatan yang digelar Drumclay Crannog kira-kira 1,400 tahun lalu bersama peninggalannya, merupakan satu sejarah yang perlu dikekalkan.

-AGENSI