Wednesday 16 October 2013

Misteri Berkeley Square Yang Berpuaka

Lebih dari 100 tahun yang lalu, sesuatu yang mengerikan terjadi di Berkeley Square. Nameless Thing of Berkeley Square adalah sebuah julukan yang diberikan kepada entiti misteri yang kelihatan pada abad ke 18 dan 19 di sebuah bangunan era Victorian bernama 50 Berkeley Square di England.

Nameless Thing of Berkley Square

Walaupun kebanyakan peneliti lebih cenderung memasukkan peristiwa ini ke dalam kategori supernatural, sebahagian yang lain beranggapan entiti ini patut dimasukkan ke dalam kategori Cryptid atau Predator.

Berpuaka!

Nameless Thing of Berkley Square

Kisah misteri ini berpusat pada sebuah kompleks perumahan yang disebut Berkeley Square. Ia didirikan pada tahun 1740 oleh William Kent. Kompleks ini pernah menjadi tempat kediaman tokoh-tokoh penting, diantaranya ialah Winston Churchill yang tinggal dibangunan nombor 48.

Dan juga George Canning, Perdana Menteri Britain pada tahun 1827 yang tinggal dibangunan bernombor 50. Dan dibangunan inilah misteri ini bermula!

Tidak ada yang tahu dan pasti bila serta bagaimana bangunan ini mula dikatakan sebagai bangunan berpuaka!

Namun, peristiwa aneh yang menyertai bangunan ini sebenarnya sudah bermula sejak akhir tahun 1700an lagi.

Menurut lagenda, seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal dibangunan ini telah dibunuh dengan sadis oleh pengasuhnya. Sejak itu, bayangan gadis kecil itu sering kelihatan sedang menangis ditingkat atas. Dan pada tahun 1840, bangunan ini telah berjaya membangunkan reputasinya sebagai salah sebuah bangunan yang paling ditakuti di England.

Puaka di tingkat dua!

Nameless Thing of Berkley Square

Pada tahun itu, Sir Robert Warboys yang baru berusia 20 tahun telah mendengar khabar angin mengenai bangunan berpuaka ini. Dibesarkan sebagai seorang yang terpelajar, Warboys menganggap remeh tentang khabar angin mengenai cerita berpuaka itu dan memandangnya hanya sebagai sebuah 'urban legend'.

Rakan Warboys yang tidak setuju dengan pandangan itu segera mencabarnya untuk bermalam ditingkat dua bangunan berpuaka tersebut. Dengan angkuh, dia menerima cabaran itu.

Setelah berjaya meyakinkan penjaga bangunan, Warboys diberikan sebuah bilik ditingkat dua, pada kedudukan betul-betul diatas bilik penjaga bangunan. Warboys masuk ke dalam bilik tidur berbekal sepucuk pistol dan sebatang lilin.

45 minit kemudian, penjaga bangunan terbangun dari tidurnya. Dia mendengar bunyi bising di bilik yang didiami Warboys. Beberapa saat kemudian, bunyi tembakan kedengaran. Dengan tergesa-gesa dia segera bingkas dan berlari menuju ke atas. Sampainya diatas, dia merempuh pintu bilik secara paksa.

Apa yang dilihatnya tidak akan dilupakannya seumur hidup! Keadaan didalam bilik itu hampir tidak berubah. Namun, disudut bilik yang remang-remang, Sir Robert Warboys terbujur kaku sambil memegang erat pistolnya yang masih mengeluarkan asap. Dia sudah tidak bernyawa lagi!

Apa yang lebih mengerikan adalah ekspresi wajah Warboys. Giginya terkatup dengan rapat dan kedua biji matanya terbeliak seperti hendak terkeluar dari tengkoraknya. Seolah-olah telah melihat sesuatu yang sangat menakutkan sehingga telah membunuhnya dalam sekelip mata.

Tidak ada petunjuk mengenai apa yang telah menyebabkan Warboys mati dengan tragis. Penjaga bangunan itu hanya menemui sebuah lubang di dinding akibat peluru yang ditembakkan dari pistolnya.

Apa yang telah ditembaknya? Yang pasti 'sesuatu' yang mengerikan!

Beberapa puluh tahun kemudian, 'sesuatu' itu muncul kembali. Kali ini, ia dilihat oleh saksi yang hidup!

Pengalaman dua orang pelaut!

Nameless Thing of Berkley Square

Pada tahun 1887, dua orang pelaut dari kapal HMS Penelope di Portsmouth bernama Robert Martin dan Edward Blunden yang baru saja menghabiskan wang untuk bergembira masuk ke kompleks Berkeley Square dan memutuskan untuk masuk ke salah satu bangunan yang ada di situ untuk mencari tempat beristirehat. Dan kebetulan mereka memilih bangunan bernombor 50!

Ketika itu, 50 Berkeley Street sudah tidak berpenghuni dan dalam keadaan kosong. Mereka kemudiannya berjaya menemui jalan masuk ke tingkat bawah dan menceroboh masuk ke situ.

Mendapati keadaan lantai yang lembab, kedua-duanya naik ke atas, lalu tidur di bilik yang pernah dihuni oleh Warboys.

Ketika memasuki bilik itu, Blunden yang kurang mabuk berbanding rakannya, Martin, segera menyedari kehadiran 'tetamu' di bilik itu yang membuatkannya gelisah. Dia menyatakan bahawa dia merasakan kehadiran 'sesuatu'. Namun, Martin segera menenangkannya dengan membuka jendela bilik untuk membiarkan angin malam berhembus masuk.

Lebih kurang sejam kemudian, sekitar tengah malam, Blunden terbangun kerana terdengar bunyi pintu bilik berkeriut. Sambil menggosok-gosokkan matanya, dia melihat pintu bilik telah terbuka. Blunden yang hairan kemudian memeriksa sekelilingnya. Tiba-tiba dia melihat sesuatu!

Dalam keadaan yang remang-remang, Blunden melihat sesosok tubuh aneh berwarna kelabu merayap perlahan-lahan di lantai kayu. Seiring dengan gerakan makhluk itu, Blunden dapat mendengar bunyi gesekan dengan lantai bilik yang membuatkannya seram.

Dicengkam oleh ketakutan yang amat sangat, Blunden membangunkan Martin. Martin yang terbangun segera menyedari apa yang sedang terjadi di bilik itu. Kedua-duanya melompat dari tempat tidur.

Makhluk itu berdiri di depan mereka. Dan di belakangnya adalah pintu bilik, satu-satunya harapan mereka untuk melarikan diri.

Blunden yang gementar melirik ke arah senapangnya yang tersandar berhampiran jendela. Ketika dia cuba untuk meraih senapangnya, makhluk itu tiba-tiba melompat dan mendarat di leher Blunden.

Blunden panik, dia mula berteriak dan bergomol dengan makhluk itu!

Martin dengan cepat berlari keluar, menuruni tangga, keluar dari bangunan dan segera berteriak mencari pertolongan. Tidak berapa lama kemudian, dia bertemu dengan seorang polis yang sedang membuat rondaan.

Ketika mereka kembali ke bangunan itu, mereka menemui bilik tadi dalam keadaan kosong. Blunden tidak ada di situ!

Mereka kemudiannya mula mencari ke seluruh bangunan. Ketika di tingkat bawah, mereka menemui Blunden namun, dia sudah tidak bernyawa lagi dengan keadaan tubuh terpotong-potong!

Nameless Thing of Berkley Square

Sama seperti ekspresi kematian Sir Robert Warboys, wajah Blunden menunjukkan ekspresi ketakutan yang amat sangat.

Dalam versi lain, diceritakan bahawa Blunden tidak mati di tingkat bawah, tetapi mati kerana jatuh dari jendela akibat ketakutan. Walaupun ada versi-versi yang berbeza, yang pasti semuanya sepakat bahawa ada 'sesuatu' yang mengerikan mendiami bangunan 50 Berkeley Square.

Pengalaman Thomas Lyttelton!

Kisah penampakan yang dialami oleh Martin mungkin akan dianggap sebagai cerita bohong seorang pelaut yang sedang mabuk. Namun, penampakan makhluk ini sebenarnya dialami sendiri oleh tokoh masyarakat dan tiada sebarang alasan untuk mereka berbohong.

Salah seorang daripadanya ialah salah seorang anggota parlimen bernama Thomas Lyttelton yang pernah tinggal di bangunan yang sama untuk beberapa waktu.

Pada suatu malam, Thomas Lyttelton melihat sesuatu seperti makhluk hidup di biliknya. Dia segera mengambil senapangnya dan melepaskan tembakan. Dia yakin bahawa makhluk itu terkena tembakannya kerana dia melihat makhluk itu jatuh. Namun dia tidak menemui sebarang jejak atau bangkai makhluk tersebut!

Makhluk apakah itu?

Menurut para saksi yang mengaku pernah melihatnya, makhluk itu seperti tidak berbentuk dan kelihatan seperti cairan likat.

Ketika ia bergerak, ia akan menghasilkan bunyi-bunyi yang pelik. Gambaran yang diberikan berbeza-beza, namun salah seorang saksi mengakui bahawa makhluk itu memiliki sesungut seperti seekor sotong kurita.

Disebabkan gambaran inilah, beberapa pengkaji menyimpulkan bahawa makhluk itu berkemungkinan adalah sejenis makhluk air yang telah bermutasi dan telah bermigrasi dari Sungai Thames ke saluran bawah tanah Kota London dan akhirnya sampai ke bangunan Barkeley Square melalui saluran paip.

Makhluk ini mungkin sedang mengejar kumpulan tikus yang tinggal berkeliaran di bangunan itu dan secara tidak sengaja menemui para pelaut yang sedang mabuk itu.

Namun, tidak ada penjelasan yang memuaskan mengenai jarak waktu penampakan yang cukup panjang. Jika makhluk itu memang seekor makhluk air yang bermutasi, sebenarnya perkara tersebut sangat mustahil kerana penampakannya mencapai sehingga 200 tahun.

Sebab itu, ramai orang percaya bahawa makhluk itu adalah makhluk supernatural, bukan 'cryptid' atau 'predator'.

Harry Price, salah seorang pengkaji yang meneliti misteri ini secara intensif pada tahun 1920-an menemui beberapa fakta menarik. Misalnya, sebelum tahun 1790, 50 Berkeley Square pernah dijadikan markas oleh para pemalsu dokumen.

Price berpendapat mungkin kisah bangunan itu berpuaka mungkin sengaja direka-reka oleh mereka untuk menutup kegiatan haram yang mereka jalankan.

Namun, ketika Price mengkaji lebih mendalam, dia menemui lebih banyak penemuan dan dokumen yang menceritakan kisah perjumpaan dengan Nameless Thing.

Misalnya, dia menemui sebuah artikel di majalah 'Notes and queries' yang ditulis oleh W.E Howlett yang diterbitkan pada tahun 1870. Di situ tertulis.

"Peristiwa Berkeley Square masih misteri. Kisah bangunan berhantu di Mayfair itu dapat disimpulkan dengan beberapa perkataan; Bangunan itu memiliki sebuah bilik dengan atmosfera supernatural yang memiliki kesan buruk terhadap tubuh dan fikiran. Seorang gadis pernah melihat dan mendengar cerita itu dan menjadi gila kerananya. Dia tidak pernah sembuh untuk menceritakan apa yang telah dilihatnya".

Melihat dokumentasi yang cukup banyak, Price hanya mampu mengambil kesimpulan bahawa memang aktiviti Poltergeist yang sangat jahat dan aktif di bangunan bernombor 50 pada tahun 1800-an. Namun dia percaya bahawa aktiviti itu telah lenyap sekarang.

Berkeley Square di zaman moden

Nameless Thing of Berkley Square

Sejak tahun 1938 hingga kini, tingkat bawah bangunan Berkeley Square telah dijadikan kedai buku terpakai yang bernama Maggs Brothers.

Walaupun tidak ada penampakan lagi yang dilaporkan dalam beberapa puluh tahun kebelakangan ini, perlu dicatat bahawa para pekerja kedai buku itu tidak diizinkan untuk naik ke tingkat atas.

Menurut mereka, sejak tahun 1950-an, pihak polis telah meletakkan papan tanda peringatan di dinding di dalam bangunan itu.

Peringatan itu menyebutkan bahawa tingkat atas bangunan itu tidak boleh digunakan, malah sebagai stor penyimpanan barang sekalipun.

Tidak ada siapa yang tahu alasannya, namun yang pasti kita tahu sebabnya..

[Sumber]


EmoticonEmoticon